Sunday, January 4, 2009

Kuasa Bukan di Tangan Mereka

(Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090104085009/Article/index_html)

SEJAK seminggu lalu ratusan rakyat Palestin, sebahagian besarnya orang awam, terbunuh akibat serangan Israel. Sementara itu lebih 1.3 bilion umat Islam hanya mampu melihat kekejaman yang dilakukan oleh negara yang mempunyai kira-kira tujuh juta rakyat dan keluasan tanah 21,946 kilometer persegi. Di luar Israel pula terdapat kira-kira tujuh juta lagi orang Yahudi. Tetapi mereka menguasai media, sistem kewangan dan perbankan, hiburan dan teknologi maklumat. Mereka juga mempunyai suara yang kuat di Amerika Syarikat (AS) melalui gerakan lobi yang sangat berpengaruh.

Kerajaan Hamas yang mahu ditumbangkan oleh rejim Israel bukan kerajaan haram. Kerajaan ini dipilih secara demokratik oleh rakyat Palestin pada tahun 2006 menggantikan kerajaan Al-Fatah yang dianggap korup sebelum ini
Rakyat Palestin memilih Hamas melalui pilihan raya - cara demokratik yang selama ini mahu dieksport oleh AS ke Tanah Arab. Selama empat dekad rakyat Palestin memberi peluang kepada kerajaan yang dipimpin oleh Yasser Arafat tetapi ternyata keyakinan itu meluntur. Masalahnya Hamas, gerakan yang dimulakan oleh Sheikh Ahmad Yassin itu dilabelkan “pengganas” oleh AS. AS tidak mengiktiraf kerajaan Hamas yang mewakili suara majoriti rakyat Palestin. Israel pula menganggap Hamas gerakan militan yang mesti dihancurkan.

Apakah alasan serangan Israel kali ini? Hamas membahayakan kedudukannya? Hamas mengancam keselamatan rakyatnya? Atau Gaza menjadi sarang gerakan militan Islam? Apapun alasan yang diberikan oleh Israel, kita tahu, sejak kelahiran negara itu pada tahun 1948, rakyat Palestin tidak pernah selamat.
Dari lebih tujuh juta pelarian perang di dunia hari ini, lebih separuh merupakan pelarian Palestin.


Satu hakikat yang harus diterima oleh Israel ialah dasarnya terhadap Palestin serta kekejaman ke atas mereka telah menggerakkan kebangkitan rakyat (intifada). Lebih buruk lagi ia menjadi pencetus pada kemarahan luar biasa umat Islam di seluruh dunia, terutama di kalangan orang muda. Kemarahan inilah yang menjadi punca gerakan militan di kalangan generasi muda Muslim.

Memang Islam tidak menggalakkan keganasan apa lagi menghalal “suicide bombers”. Tetapi dalam keadaan terdesak dan apabila kemarahan tidak dapat dikawal lagi, tindak balas sedemikian tidak dapat elakkan. Gerakan militan Islam bercambah akibat tindakan Israel di tanah Palestin. Hal ini disedari oleh semua pihak - termasuk AS dan Israel serta sekutu mereka. Kemarahan generasi muda Muslim terhadap Israel menyebabkan generasi (yang banyaknya terpelajar) ini mengambil tindakan drastik. Mereka sedar kekecilan mereka berbanding kuasa ketenteraan Israel dan sekutunya AS. Mereka sedar kuasa ketenteraan tidak boleh “mengalahkan” Israel. Tetapi atas nama mempertahan kesucian Islam dan menentang musuh Islam, banyak anak muda ini menjadi pengebom berani mati.

Bagi generasi Muslim yang gelisah ini, mereka melihat penaklukan ke atas Afghanistan oleh tentera Russia pada tahun 1979, konflik di Kashmir, kekejaman puak Serb di Bosnia-Herzegovina dan tindakan kejam Russia di Chechnya sebagai penganiayaan ke atas umat Islam dan bukti kelemahan mereka. Generasi ini sedar kerajaan mereka tidak dapat berbuat apa-apa bagi menentang kekuasaan ketenteraan konvensional. Kemarahan itu ditambah pula dengan penaklukan AS di Afghanistan dan Iraq.

Kita harus ingat tentera kedua terkuat di dunia suatu masa dulu - Russia - tewas di tangan pasukan yang hanya berbekalkan semangat dan peralatan senjata primitif. Mereka dipuja di Barat sebagai penentang Russia. Pejuang Mujahidin dinobatkan dalam budaya popular Barat - dari novel hingga filem. Mereka dibiayai sebahagian besarnya oleh AS. Banyak pejuang muda Muslim dari seluruh dunia yang turut sama menentang Russia di Afghanistan. Malah mereka dimatangkan oleh perang cara gerila. Tetapi selepas September 11, mereka semua dilabelkan pengganas. Pejuang yang pernah disanjung oleh Barat AS ini sebahagiannya ditahan di Guantanamo, Cuba dan dianggap “illegal combatants” dan dinafikan hak untuk membela diri.

Dalam konflik yang terbaru ini, kemarahan generasi muda Muslim diperhebat oleh kehadiran teknologi terbaru. Kalau dulu hanya TV 24 jam yang membawa laporan pelbagai bentuk serangan dan kekejaman, dalam kempen Israel terbaru ini, teknologi ICT ternyata amat berpengaruh. You Tube membuat laporan 24 jam serangan itu, lengkap dengan kesan serangan dan kematian serta kecederaan ke atas manusia serta kemusnahan harta benda. Generasi muda Muslim ini mendapat gambaran tanpa suntingan apa yang berlaku 24 jam di Gaza.

Saya meramalkan tindakan Israel kali ini akan melahirkan pusingan baru keganasan. Dan lebih banyak lagi anak muda Muslim yang akan bertindak agresif dan ganas. Israel perlu menghentikan serangan tidak bertanggungjawab ini. Mereka melakukan perkara yang sama ke atas Lubnan dua tahun lalu walaupun dunia mengutuk tindakan itu. Apa lagi yang tidak dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin? Berapa tinggi lagikah tembok yang akan didirikan untuk menyulitkan pergerakan rakyat Palestin? Berapa banyak lagikah kesengsaraan ekonomi yang harus ditanggung oleh mereka akibat sekatan ekonomi?

Israel nampaknya mengambil kesempatan dari peralihan kuasa di Rumah Putih kali ini. Presiden Bush yang hilang taringnya tidak ada kredibiliti lagi bercakap bagi pihak AS.

Barack Obama tidak dapat berbuat apa-apa masa ini. Beliau tidak akan mengutuk tindakan Israel. Demokrat merupakan parti yang didukung oleh lobi kuat Yahudi di AS. Tambahan pula Obama meletakkan beberapa orang Yahudi dalam kabinetnya selain melantik Hillary Clinton sebagai Setiausaha Negara AS.
Saya tidak nampak perubahan dasar luar AS mengenai Israel atau Palestin di bawah Obama.

Politik dalaman Israel juga nampaknya akan memanjangkan konflik ini. Perdana Menteri, Ehud Olmert mahu membuktikan dia tegas dan boleh membuat keputusan. Bekas Perdana Menteri, Ehud Barak, yang kini menjadi Menteri Pertahanan mahu membuktikan beliau masih relevan. Menteri Luar, Tzipi Livni, mahu menunjukkan sebagai wanita beliau tidak boleh diambil mudah. Malah bukan rahsia lagi beliau bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Israel pada waktu terdekat. Malang sekali rakyat Palestin sekali lagi akan menjadi mangsa percaturan politik AS dan Israel.

Dalam dunia Islam, akan kedengaran kecaman hebat dari mimbar masjid hingga ke kedai kopi. Tetapi apakah daya umat Islam. Mereka berada dalam kedudukan yang lemah.
Negara Islam yang kaya di Semenanjung Arab lebih ghairah membina pencakar langit dan membeli harta secara besar-besaran di AS dan Eropah. Negara Islam yang miskin berperang dengan kebuluran dan penderitaan rakyat. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab membuat satu atau dua kenyataan mengecam, selepas itu menjadi penonton drama menyayat di Gaza.
Umat Islam seperti biasa hanya meraung dan menangis. Kuasa bukan di tangan mereka...

No comments: