Thursday, October 1, 2009

Tersusun Urusan...




Dalam 10 muwasofat fardh muslim, salah satunya adalah munazzaman fi syu’unih. Ertinya lebih kurang tersusun urusannya. Satu aspek yang amat penting dan begitu mencabar dalam memenuhinya. Sebagai individu muslim yang cemerlang, menjadi seorang yang munazzam adalah satu keperluan, kerana jika tidak, kita akan tergolong dalam kumpulan – *“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian”*. Kerana pada sela kita tidak dalam melaksanakan perancangan urusan kita yang bermanfaat, kita dalam kerugian. Bagaimana kita tidak akan menjadi rugi itu anda kajisendiri dalam ayat seterusnya dari surah al-Asr itu.

10 Muwasafat Tarbiyyah bagi fardh muslim

Dalam menanggapi ‘munazzam’, kebanyakan fardh muslim akan mengambil maksudnya yang begitu simplistik. Dan tidak ramai akan mengambil maksud tersiratnya yang begitu sukar difahami dan dilaksanakan.

Simplistiknya, munazzam akan orang fahami sebagai kehidupan yang tersusun dan terancang. Berjadual lengkap, terancang apa yang hendak dibuat dalam seminggu, hatta sebulan sekalipun. Bahkan ada yang tahu sehingga jam berapa ke jam berapa. Ada juga perancangan 5 ke 10 tahun yang akan datang mencakup karier, bilangan anak, jumlah isteri, lokasi mastautin dan sebagainya. Pandangan simplistik ini begitu … simplistik.

Dan bahaya yang ia bawa adalah ia merapuhkan. Ia nampak begitu tegar dan kemas. Namun ia rapuh. Di dalamnya tiada keanjalan. *In engineering terms – stiff, hard, not ductile, brittle = martensitic. *Ia sesuai untuk beberapa situasi dan kondisi, tetapi amat berbahaya di waktu yang pelbagai mendatang. Ini jika munazzam yang dipegang adalah sebegini:

*“Tersusun kehidupan. Saya punya jadual waktu yang tersusun. Saya melatih diri saya hidup dengan perancangan supaya saya maksimumkan waktu-waktu saya. Dengan menjadi tersusun begini, saya dapat memastikan aktiviti saya kemas, pelaksanaan saya cemerlang dan kecacatan dapat saya kurangkan kerana saya telah merancang dari awal. *

*Dengan ketersusunan saya ini, saya lebih suka jika apa-apa tugasan yang mendatang diberi tahu awal. Ini kerana, jika terlalu lambat, saya sukar untuk merancang yang terbaik. Jika lebih awal, maka saya dapat pastikan segalanya berjalan lancar, serta hasilnya lebih mudah dijangka.*

*Jika segera dapat disusun, maka begitu mudah akan dapat saya pastikan urusan saya terlaksana dan mencapai objektif. Bagi saya, ini amat penting bagi dunia pendakwah, untuk urusan disusun sedari awal dan maklumat tersampai secepat mungkin agar hasilnya munasabah.”*

Apa yang ia rapuhkan adalah kemampuan memikul *supernatural burdens* yang amat diperlukan oleh penda’wah. Juga merapuhkan kekuatan emosi dan perasaan. Jika sesuatu datang di luar jangkaan, sifat ketersusunannya tidak akan terganggu, tapi emosi dan perasaanya akan diretakkan dahulu. Bahayanya besar di akhir jalan.

Adapun pandangan yang tidak simplistik, tetapi melihat kepada maksud tersirat dan kekuatan yang ada pada unsur munazaam itu, kondisinya berbeza. Secara mudah, anda dapat menemui orang seperti ini pada kriterianya yang tidak berjadual dan seolah tidak ada urusan, tetapi da’wahnya berjalan, pelajarannya terurus, kerjayanya stabil, emosi nya kukuh, perasaannya
tenang, amal fardhinya konsisten. Tetapi dia tidak punya diari, mahupun *desktop calendar* yang berwarna-warni. Dan dia jarang sekali melatah dan menolak tanggungjawab atau taklifan untuk dilaksanakan.

Kerana dia munazzam. Munazzam pada hakikatnya. Terjawab rahsia ketersusunannya pada kemampuan dan kredibilitinya dalam melaksanakan taklifan. Baik da’wah mahupun pelajaran atau kerjaya.

Fardh muslim sebegini adalah fardh muslim yang kukuh, anjal dan punya banyak kegunaan. Ia umpama *superalloy* . Rahsianya begini,

*“Tersusun urusannya. Saya menyusun kerja saya pada tempatnya. Saya utamakan apa yang utama, saya kemudiankan apa yang kemudian. Saya tidak punya jadual, tapi saya iltizam pada waktu dan kelapangan, agar dimanfaatkan. Saya rutinkan perkara yang perlu dirutinkan, seperti tilawah, ulangkaji, bacaan yang menambah ilmu, hafazan dan seumpamanya. Rutin bukan pada waktu dan masa, tetapi pada terlaksana atau tidak terlaksana sehari-harian. *

*Jika ada aral melintang, maka saya sediakan ruang dan saya gagahkan untuk berkorban. Jika ada taklifan yang mendatang, maka saya korbankan waktu santai dan bersahaja, atau saya kemudiankan urusan yang lebih sepele dari amanah taklifan itu. Jika ia tiba lewat, maka saya tidak bersalah jika ia tidak sempurna, selagimana saya laksanakan pada kemampuan terhebat saya.*

*Saya akui, saya tidak hidup sendirian. Orang lain dengan urusannya, dan saya dengan perihal saya. Orang lain mungkin ada aral melintangnya, dan saya juga perlu bersedia dengan aral melintang saya. Yang utama, adalah dengan iltizam pada kebaikan dan kekalkan himmah yang tinggi.”*

Dengan itu, ia akan mampu terus beramal. Keadaan dan kondisi luaran tidak mengganggunya, kerana ia anjal pada kemampuannya.

Juga dalam melihat kesinambungan setiap 10 muwasafat tersebut, ada juga mujahadah melawan nafsu, bermanfaat kepada orang lain, sangat menjaga masa, akhlak yang mantap dan luas ilmu pengetahuan menuntut agar kecenderungan munazzam pada hakikatnya yang sebenar, bukan hanya pada lafaz luarnya sahaja.

Jika semuanya perlu dijadualkan, sukar untuk kita belajar bermujahadah dalam erti jihad, bermanfaat dalam erti holistik, akhlak yang mantap dalam erti realiti, bijaksana dalam erti keperibadiannya dan menjaga masanya dalam erti keikhlasannya. Kerana ia terpaksa mengharungi penyusunan demi penyusunan dek jadual yang terlalu kemas. *At least to the certain extreme.*

Jika diusul satu taklifan kepada anda, yang perlu terlaksana dalam 3 hari, apakah pilihan jawapan anda daripada senarai di bawah?

- Mengapa lambat sangat diberitahu? Saya sudah ada perancangan yang dibuat seminggu yang lalu. Awak perlu cari orang lain.
- InsyaAllah, saya cuba sedaya mampu.
- Mengapa lambat sangat diberitahu? Kalau tak elok, jangan salahkan saya, sebab awak yang bagi lambat.
- InsyaAllah, tapi kalau tak sempurna, saya minta maaf awal-awal, sebab ini dah terlalu lewat.

Dan bagi setiap jawapan yang anda pilih, ada darjatnya masing-masing di mata mu’min.

Persoalannya, munazzam mana pilihan anda?

*The world is too big to fit in your life, *

*but your life is just perfect to fit in this world.*

Source: HRD ISMA Australia

No comments: