Adik,
Kala itu akak bingung. Mahu cakap apa sebentar lagi? Bukan senang mahu berbicara dengan manusia, apatah lagi mahu bercakap dari jiwa ke jiwa. Akak pohon Tuhan leraikan ikatan di lidah, supaya tidak tersalah kata dan bicara. Apa yang datang dari hati akan jatuh ke hati...
* * *
Pintu bilik adik tertutup rapat. Serba salah akak dibuatnya, mahu ketuk atau biarkan saja? Pasti adik sudah tertidur, penat membanting tulang seharian. Akak berkira-kira, hendak tak hendak mesti redah juga. Esok sudah tidak ada peluang. Jika bukan sekarang, bila lagi?
Pintu diketuk...sekali...dua kali... Hampir saja akak putus harapan, akhirnya kedengaran pintu dibuka dari dalam. Alhamdulillah.
Kelihatan adik di muka pintu, terpisat-pisat menggosok mata, baru bangun dari tidur. Wajah adik nampak penat. Akak tahu adik bukan saja penat fizikal, tapi penat emosi dan perasaan. Akak tahu adik lalui kehidupan panjang dan payah. Kala itu akak berdoa agar ditimpa saja segala masalah ke atas bahu ini, biar adik tidak merasa susah. Tapi hanya dengan masalahlah datangnya tarbiyah-buat adik membesar, belajar dan menjadi matang.
Adik sudah kurus, memang kurus...Sayu melihat adik kala itu. Malah lebih sayu bila mengingat apa yang adik alami. Bila akak tenung wajah adik dalam-dalam, akak jadi bertambah sayu...Susah hendak dicerita, pilu itu masih terasa. Apatah lagi mata ini pernah melihat sendiri bagaimana adik ’membesar’ sebelumnya.
* * *
Adik masih mampu membuat jenaka. Bibir ini mampu mengukir senyum, tapi, maaf. Hati akak sudah tidak sanggup untuk ketawa. Sebak di dada ditahan-tahan, mujur tidak terhambur keluar air mata.
Setitis demi setitis air mata adik tumpah jua. Akhirnya, tersingkap juga rahsia perasaan di sebalik senyum dan ketawa adik. Betul tekaan akak. Dari sini lagi akak sudah terasa ada yang tidak kena, ditambah bila kali pertama melihat semula wajah adik setelah terpisah agak lama
* * *
Adik,
Payah, memang payah. Akak faham itu. Tapi, dengan payah-di situlah datangnya mujahadah dan tarbiyah. Hidup bukan untuk merasai indah, tapi hidup untuk merasai ’kelazatan’ susah. Kerehatan dan kesenangan sebenar hanya di sana...
Adik,
Susah, memang susah. Apakah teruji iman jika hidup senang tanpa cabaran? Sesuatu yang berjaya dimulakan, nescaya akan berjaya ditamatkan. Syaratnya adalah kesabaran. Walau pernah berjaya untuk bermula, tapi tanpa sabar dan istiqamah, bakal mudah kecundang di jalanan.
Adik,
Titik mula kita serupa. Kita berhadapan dengan masalah yang sama. Kita melalui tuntutan perasaan yang mirip. Memang pahit. Memang tidak kuat. Kerana kuat hanya dengan Allah. Jika adik pernah menangis, akak juga pernah. Jika adik pernah tertekan, akak juga pernah...
Akak di sini hari ini, harganya adalah pengorbanan berterusan, tekanan emosi, tangisan di malam hari, kecamuk dsbnya...Hampir nak gila. Setahun akak duiji begini. Kuncinya adalah kebersamaan dengan Tuhan, kebersamaan dengan teman seiman, dari situ lahirnya kekuatan.
Adik,
Jika cintakan hidayah ini, tarbiyah ini, dakwah ini...korbankanlah emosi demiNya. Jalan ini masih panjang
Mengapa boleh dikorban cintaNya, demi meraih cinta al hawa’? Mengapa tidak tertekan perasaan bilamana cinta kepadaNya dihindar, sepertimana tertekan perasaan bilamana cinta manusia dibubar?
* * *
Adik adalah orang yang ‘faham’ dan adik MASIH menjadi orang yang faham. Malah adik adalah orang yang lebih arif tentang apa yang adik hadapi kini, sedangkan akak sendiri kurang pasti…
(39:53)
Hanya GERHANA, bukan terbenamnya mentari
Kita tanggung bersama
2 comments:
kita tanggung bersama...
i am never alone~
maafkan diri ni k.nun~
Post a Comment